• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

LTdL 2020 : Ovechkin TSG Ketiga, Celano Rampas Jersi Kuning

 
Pelumba TSG, Artem Ovechkin. Foto ihsan-News Straits Times.
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin meraih tempat ketiga dalam peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Putrajaya ke Cameron Highlands hari ini.

Ovechkin pada mulanya hampir menamatkan saingan di kedudukan pertama apabila mendahului pelumba-pelumba lain di tiga kilometer (km) terakhir.

Bagaimanapun pelumba senior yang berasal dari Rusia itu berjaya dikejar dua pelumba lain di dua km sebelum garisan penamat.

Perlumbaan yang dianggap peringkat penentuan kerana pendakian sukar di kawasan tanah tinggi itu menyaksikan pelumba pasukan Androni, Kevin Rivera serta Sapura Cycling (TSC), Danilo Celano mendapat tempat pertama dan kedua.

Dengan kemenangan podium itu, TSG muncul pasukan kedua terbaik keseluruhan ketinggalan lima minit di belakang satu lagi pasukan dari Malaysia, TSC.

Sementara itu, tempat kedua yang diraih Celano melonjakkan dirinya ke tangga pertama keseluruhan sekali gus berjaya merampas Jersi Kuning daripada pelumba Vino-Astana Motors, Yevgeniy Fedorov.

Meskipun terlepas jersi kuning, Fedorov masih berjaya mengekalkan Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia, manakala Jersi Hijau (raja pecut) pula dimenangi Maximilian Richard Walscheid dari pasukan NTT Pro Cycling dan Jersi Merah (raja bukit) kekal milik pelumba TSC, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff.

Saingan peringkat kelima akan bersambung esok iaitu bermula di Kuala Kubu Bharu dan berakhir di Bandar Meru Jaya dengan jarak perlumbaan sejauh 165.8 km.





Tag: