• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

LTdL 2020 : Pecutan Harrif Sambar Tempat Pertama

Harrif mengulangi sejarah LTdL tahun lalu. Foto ihsan - Google.
KUALA TERENGGANU, 11 Februari – Pecutan bertenaga Harrif Saleh pada 400 meter terakhir memberi keceriaan kepada Terengganu Cycling Team (TSG) apabila pelumba itu meraih tempat pertama dalam peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 sebentar tadi.

Kejayaan tersebut mengulangi sejarah yang dilakarnya bagi saingan LTdL 2019 apabila turut memenangi saingan peringkat selepas sembilan tahun pelumba Malaysia gagal memenanginya.

Hari ini, Harrif sekali lagi membuktikan kejaguhannya apabila mengungguli perlumbaan dari Kuala Kubu Bharu ke Bandar Meru Jaya, Ipoh sejauh 165.8 kilometer dengan catatan masa tiga jam 39 minit 42 saat.

Ia sekali gus menyaksikan beliau muncul pelumba Asia pertama yang memenangi dua peringkat LTdL dalam tempoh dua tahun berbeza.

Pecutan Harrif turut menafikan kehebatan penyarung Jersi Hijau (raja pecut) dari pasukan NNT Pro Cycling, Maximilian Richard Walscheid yang berada di tempat kedua.

Manakala, Matteo Pelucchi dari pasukan Bardiani Csf Faizane melengkapkan podium tiga pelumba terbaik.
Pecutan di 400 meter terakhir membawa kegembiraan untuk anak Terengganu itu.
Kejuaraan yang dicipta Harrif turut melonjakkan beliau ke kedudukan ketiga raja pecut keseluruhan di samping mengekalkan TSG sebagai pasukan kedua terbaik keseluruhan LTdL ketinggalan lima minit di belakang Sapura Cycling Team (TSC).

Untuk perebutan Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan), Putih (terbaik Asia) dan Merah (Raja Bukit) pula menyaksikan tiada perubahan berlaku.

Ia selepas Danilo Celano dari TSC, pelumba Vino-Astana Motors, Yevgeniy Fedorov dan Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff juga dari TSC mengekalkan jersi masing-masing yang dimenangi semalam.

Saingan peringkat keenam akan bersambung esok iaitu bermula di Taiping dan berakhir di Pulau Pinang dengan jarak perlumbaan sejauh 151.3 kilometer.

Tag: