• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

'Maaf Atas Kekurangan Sepanjang Lima Tahun'

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil kesempatan hari terakhir Syawal bagi memohon maaf atas sebarang kelemahan barisan kepimpinannya dalam mentadbir negeri sepanjang sepenggal pemerintahan PAS Terengganu.

"Sedar atau tidak sedar, sudah genap lima tahun saya bersama rakan-rakan telah diamanahkan menjaga dan mentadbir negeri Terengganu yang kita kasihi.

"Tanpa kita nafikan, dalam proses ini pasti ada kekurangan di peringkat pentadbiran kerajaan samada ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, kelemahan menteri besar. Kita semua sedar bahawa kita adalah manusia biasa yang diamanahkan untuk mengurus tadbir penuh dengan kelemahan.

"Oleh demikian, saya dan rakan-rakan yang diamanahkan sepanjang lima tahun ini memohon maaf pada tuan-tuan," katanya dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera TMBS di MAEPS Serdang, semalam.

Hadir sama meraikan majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato'Seri Abdul Hadi Awang; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato'Yahaya Ali dan sebahagian besar kepimpinan menyertai 10,000 anak-anak Terengganu di perantauan.

Dr. Samsuri juga berharap dapat meneruskan fasa pembangunan sebagaimana yang dirancang dan dibentangkan kepada umum sejak 2018 lalu.

"Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anak-anak Terengganu di perantauan yang telah bersama-sama dengan kerajaan ini, memberi pelbagai cadangan dan idea untuk proses pembangunan negeri Terengganu yang kita sayangi.

"Insya-Allah, pada penggal akan datang kita akan menggerakkan fasa yang berikutnya untuk pembangunan dan rakyat negeri Terengganu berdasarkan perancangan yang telah diuar-uarkan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030," katanya.


Tag: