• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Maahad Tahfiz Jalin Kerjasama Strategik Dengan Kolej Komuniti

KUALA TERENGGANU, 20 Mac- Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Komuniti Kuala Terengganu dalam memastikan pelajarnya terus mendapat kemahiran lain untuk menjamin kebolehpasaran apabila tamat pengajian kelak.

Acara menandatangani MoU itu berlangsung pada Majlis Mini Konvokesyen Kursus Tahfiz vokasional 2022 di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu sambil disaksikan Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Abdullah Suhaimi Zakaria.

Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman diwakili Mudirnya, Muzaihar Kamal Mustapa Kamal manakala Kolej Komuniti Kuala Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Ts. Ali Mamat.

Sempena majlis mini konvokesyen itu, seramai 52 pelajar maahad tersebut dianugerahkan sijil selepas berjaya menamatkan kursus pendek Program Peningkatan Kemahiran PSH Bermodul dan Bermodul (kredit) dalam bidang pendawaian elektrik dan jahitan pakaian wanita di bawah kelolaan Kolej Komuniti Kuala Terengganu.

Sementara itu, Muzaihar Kamal merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kolej Komuniti Kuala Terengganu yang menawarkan kerjasama untuk melatih pelajar mereka dengan kemahiran yang diperlukan.

“Diharapkan dengan termeterainya MoU ini, jalinan kerjasama sebelum ini akan berterusan.

“Ini kerana gabungan pendidikan agama dan kemahiran amat penting kerana ia bukan saja memberikan ilmu agama berterusan kepada pelajar tetapi juga ilmu kemahiran yang pastinya mampu dipraktikkan sepanjang hayat.

“Kesinambungan antara bidang tahfiz dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja dari sudut spiritual diri, malah dari sudut fizikal perlu pengisian bagi memenuhi tuntutan menjadi seorang muslim.

Justeru, gabungan bidang kemahiran dan bidang tahfiz di Kolej Komuniti mampu meluaskan kebolehan kepada pelajar terbabit,” ujarnya.