• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Maal Hijrah: Kembali Kepada Hukum Hakam Pemerintahan Islam

Haji Hanafiah Mat.
Oleh: Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU - Hukuman rotan (sebatan) yang dikenakan kepada pesalah pasangan lesbian baru-baru ini diharapkan menjadi hukuman yang boleh diterima sekaligus menyedarkan masyarakat Negeri Terengganu khususnya bahawa pentingnya kembali kepada hukum-hakam pemerintahan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat berterima kasih kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, yang beberapa hari lalu telah melaksanakan sebahagian kecil Undang-undang Islam atau Takzir.

Menurutnya, beliau mengharapkan seluruh masyarakat dapat berganding bahu bersama kerajaan negeri demi kesejahteraan semua.

"Tema Maal Hijrah pada kali ini ialah “Menyantuni Ummat, Membawa Rahmat” di mana, awal Muharram  merupakan hari bersejarah Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah.

"Baginda Rasulullah SAW telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan Islam yang berlandaskan Al-Quran, Hadis, Ijma’dan Qias.

"Maka, mengambil ibrah Maal Hijrah pada tahun ini, insya-Állah kerajaan akan melaksanakan pemerintahan selaras dengan perintah Allah SWT.

"Sehubungan itu, saya mengharapkan bahawa seluruh rakyat yang berada dalam Negeri Terengganu bersiap siaga menerima pemerintahan baharu dan boleh berinteraksi dengan kerajaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, baru-baru ini (5 September).

Haji Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai turut mengungkapkan rasa dukacita dan takziah kepada semua mangsa-mangsa ribut baru-baru ini, yang diuji oleh Allah.

"Anggaplah apa yang kita terima ini sebagai ujian dariNya untuk menguatkan iman dan taqwa kita.

"Kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan memastikan bahawa bukan sahaja pembangunan roh, jasad tetapi dalam masa yang sama pembangunan jasmani, pembangunan insaniah dan pembangunan fizikal juga akan diberi tumpuan oleh kerajaan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang insya-Állah.

"Kita akan pastikan seluruh kekayaan negeri (Terengganu) ini akan dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat Negeri Terengganu itu sendiri.

"Bagi pihak kerajaan, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram 1440 Hijrah.

"Santunilah ummat dan jadikan seluruh umat manusia yang berada di muka bumi ini terutama bangsa-bangsa Melayu, India, Cina yang berbilang kaum dalam negara kita ini dapat hidup aman dan harmoni.

"Akhirnya, saya mengharapkan bahawa perpaduan yang kita jalinkan ini akan membawa satu rahmat kepada kita sendiri.



Tag: