• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Madinah Ramadan Diteruskan Dengan Skala Kecil

KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Program Madinah Ramadan bakal mewarnai malam-malam bulan puasa di bandar raya ini dengan memilih dataran Drawbridge sebagai lokasi baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata namun disebabkan penularan Covid-19 melibatkan varian Omicron, program tersebut diadakan dalam skala lebih kecil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Program Madinah Ramadan tahun ini kita tidak buat solat tarawih, hanya pasang kanopi untuk solat Maghrib dan tazkirah sebelum waktu solat sahaja berikutan keadaan semasa Covid-19 yang semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Halaqah Darul Iman (HaDI) yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, kerajaan negeri juga membenarkan jemaah menunaikan solat tarawih di masjid dan surau kawasan masing-masing sepanjang Ramadan mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa.

“Kita tidak menyekat pelaksanaan aktiviti lain  mengimarahkan bulan puasa seperti agihan bubur lambuk dan tadarus al-Quran dengan pematuhan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyekat penularan jangkitan Covid-19," katanya.