• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Madinah Ramadan Kumpulkan Institusi Pondok

KUALA TERENGGANU, 4 April – Madinah Ramadan yang mula berlangsung pada 30 Mac terus mendapat sambutan dengan kehadiran warga sekolah pondok anjuran Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) semalam.

Menjadi keunikan Negeri Terengganu apabila pembangunan modal insan disertakan dengan usaha semarakkan ilmu melibatkan semua aspek pendidikan termasuklah institusi pondok.

Kerajaan melalui Portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan mengumpulkan para tenaga pengajar serta penuntut daripada beberapa buah pondok di negeri ini dalam satu acara Liqa Mahabbah Guru dan Asatizah Pondok dan Sekolah Agama Negeri Terengganu.

Majlis dirasmikan Pengerusinya, Mohd Nor Hamzah serta dihadiri Pengerusi Muafakat Pondok Malaysia, Marzuki Yusof dan Pengerusi Persatuan Pondok Terengganu, Ahmad Raqim An-Nuria Al-Madani.

Penyerahan sumbangan zakat daripada anak syarikat Terengganu, TDM Berhad kepada Perstauan Kebajikan Rabitah Institut Pendidikan Islam Negeri Terengganu turut disampaikan dalam majlis tersebut.

Sebagai rekod sejak November 2022, sebanyak 145 buah institusi pondok berjaya didaftarkan secara rasmi bawah Kerajaan Negeri.

Madinah Ramadan menjadi acara mega sejak 2018 bagi meraikan keberkatan Ramadan buat masyarakat Terengganu melalui aktiviti keagamaan, berbuka puasa sehingga tarawih secara berjemaah.

 


Tag: