• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Mahkamah Putuskan Abdul Hadi Tak Fitnah Kristian

KUALA TERENGGANU, 4 Mac- Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan untuk membatalkan Notis Permohonan Perayu rakyat Sabah, Maklin Maksiau terhadap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Y.A.A. Dato' Mohamad Zabidin Mohd Diah, (HBM) Y.A. Dato' Mary Lim Thiam Suan dan (HMP) Y.A. Datuk Harmindar Singh Dhaliwal (HMP) memutuskan untuk membatalkan (Maklin) untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atas alasan tiada affidavit yang kompeten sebagai sokongan dan permohonan tersebut adalah cacat. 

Menurut peguam bela defendan, Yusfarizal Yussoff, pembatalan tersebut membuktikan Abdul Hadi tidak memfitnah komuniti Kristian sebaliknya, hanya memberi pandangan berkenaan kaedah misionari Kristian semata-mata. 

Jelasnya, diperingkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum itu, Mahkamah telah menyatakan bahawa deklarasi yang dipohon adalah semata-mata bermotifkan politik dan tidak mempunyai apa-apa asas dan sandaran dari segi fakta mahupun undang-undang. 

Berdasarkan rekod, sebelum ini plaintif bersama Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian mengemukakan saman terhadap Abdul Hadi pada 9 Disember 2020 untuk meminta suatu pengisytiharan bahawa defendan tidak layak untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri, susulan kenyataan berbaur hasutan beliau terhadap penganut Kristian dan Mubaligh Kristian di Harakah, pada 18 Jan 2016.

Presiden PAS itu kemudian berjaya membatalkan saman pemula di peringkat Mahkamah Tinggi. 

Mahkamah Rayuan pada 16 Ogos 2022 turut menolak rayuan untuk mengembalikan semula saman terhadap Abdul Hadi atas dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut Kristian.

Mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram adalah peguam yang berhujah bagi pihak Maklin Maksiau di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun beliau meninggal dunia sebelum pendengaran hari ini. Peguam R. Kengadharan berhujah mewakili Maklin Maksiau pada hari ini.

 


Tag: