• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Maidam Agih RM11.73 Juta Kepada 22,023 Penerima Zakat

KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM11.73 juta kepada 22,023 asnaf fakir dan miskin di Terengganu sempena  Ramadan tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban kewangan golongan asnaf agar dapat menyambut Ramadan dengan lebih ceria.

Katanya, agihan bermula pada Isnin lalu di Besut dan pengagihan terakhir ialah di daerah Kuala Nerus pada Selasa depan.

“Terdapat tiga kategori bantuan iaitu untuk isi rumah tunggal sebanyak RM300, isi rumah dua atau tiga orang (RM500) dan isi rumah empat orang ke atas (RM700).

"Ada penerima yang menerima bantuan secara tunai melalui majlis pengagihan yang ditetapkan dan sebahagian besarnya pula dimasukkan secara terus kepada akaun penerima," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan agihan bantuan zakat sempena Ramadan kepada 580 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di perkarangan Kompleks Perkarangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata berlaku peningkatan dalam jumlah mereka yang menerima bantuan zakat pada kali ini.

“Pada tahun lepas, seramai  21,580 orang penerima  asnaf fakir dan miskin yang melibatkan melibatkan peruntukan RM10.49 juta dan kemungkinan meningkat disebabkan beberapa faktor.

 “Antaranya kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai berhenti kerja dan hilang pendapatan..dan kita harap situasi ini akan kembali pulih dan mereka dapat kembali bekerja seterusnya tidak lagi tergolong dalam kategori asnaf fakir dan miskin," katanya.