• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MAIDAM Bantu Mangsa Banjir Di Wilayah Persekutuan

KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Bagi menyokong usaha bantuan dan pemulihan akibat bencana banjir, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) menyumbang dana RM200,000 buat mangsa terkesan di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya M Rozi Bidin berkata, pihaknya telah memutuskan sumbangan tersebut diagihkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi pemberian di peringkat seterusnya.

“Dana ini adalah tanda simbolik sokongan kepada warga wilayah tersebut untuk bangkit kembali setelah terjejas teruk akibat bencana itu.

“Manakala buat saudara kami di negeri lain seperti Selangor dan Pahang, kita sedang aktif meneliti kelulusan pada peringkat tertinggi bagi penyaluran bantuan buat kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM200,000 daripada Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT), di sini, hari ini.

Majlis penyerahan zakat perniagaan disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah KPKKT, Mohd Harun Isa dan dihadiri Pengarah Eksekutif Golden Pharos Berhad (GPB), Profesor Madya Dr Mohd Zaki Hamzah.

Tambah beliau, MAIWP terdahulu turut menyumbang kepada komuniti terjejas akibat banjir di Terengganu dengan bantuan RM1.25 juta, dengan RM1 juta daripadanya berbentuk barangan manakala RM250 ribu bagi membaiki masjid dan surau rosak akibat bencana tersebut.