• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

MAIDAM Peruntuk Dana Baiki Rumah Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 18 November - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan peruntukan membaik pulih kerosakan kediaman mangsa banjir, terutama membabitkan golongan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, golongan asnaf yang mengalami masalah kerosakan rumah disebabkan ditenggelami air diminta mengemukakan permohonan.

Katanya, bantuan akan diberikan bergantung kepada penilaian kerosakan kediaman dialami mangsa. 

"MAIDAM ada menyediakan peruntukan dibawah kategori bencana kepada golongan asnaf yang menghadapi kerosakan kediaman disebabkan ditenggelami air, " katanya.

M. Rozi berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengagihan Silinder Komposit Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kampung Beladau Kolam, di sini, hari ini. 

Turut hadir, Pengurus Besar MAIDAM Property Sdn Bhd, Wan Farid Imran Wan A Latif dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amiiri Ngah. 

M Rozi berkata, bantuan membaik pulih kerosakan kediaman bukan sahaja terhad kepada golongan asnaf, sebaliknya semua mangsa banjir boleh mengemukakan permohonan melalui dalam talian. 

Sementara itu, mengulas mengenai kutipan zakat, M Rozi mengakui berlaku kemerosotan sebanyak RM2 juta kutipan, terutama zakat perniagaan berikutan banyak pihak yang terkesan berikutan pandemik COVID-19. 

"Sehingga semalam, hanya RM135 juta berjaya dikutip berbanding RM137 juta dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.


Tag: