• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Maidam Agih RM101.3 Juta Zakat Kepada Rakyat Terjejas

KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengagihkan RM101.3 juta wang zakat, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, bantuan itu diagihkan melalui 10 inisiatif khas yang dilaksanakan MAIDAM secara berterusan sejak Januari lalu.

"Antara penerima bantuan ialah pemandu teksi, penarik beca, penjaja dan tukang kasut yang menerima sumbangan barang keperluan sempena Ramadan.

"MAIDAM juga mengagihkan bantuan pelitup muka dan barang keperluan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia yang dikenakan kuarantin di asrama, ketika peperiksaan itu berlangsung," katanya dalam satu kenyataan semalam

Bagi melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pula, Rozi berkata, pihaknya turut memberi tablet kepada anak asnaf melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM.

"Terbaru, seramai 21,492 ketua isi rumah iaitu penerima bantuan khas zakat MAIDAM akan menerima bantuan sebanyak RM200 agar dapat meringankan beban kewangan mereka, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

"Bantuan ini akan disalurkan terus ke akaun penerima secara berperingkat mulai bulan ini dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM4,298,400.

"Diharapkan bantuan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh asnaf untuk membeli barang keperluan harian, terutama makanan asas," katanya.

Bantuan khas itu juga disalurkan kepada 1,098 asnaf tinggal di Besut ketika daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), pada 22 Mei lalu, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM219,600.

Tambahnya, MAIDAM berterima kasih kepada semua pembayar zakat di Terengganu kerana ramai golongan sasar sudah menerima manfaat agihan bantuan.


Tag: