• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

MAIDAM Tidak Guna Wang Zakat Beli Pelitup Muka Untuk Calon SPM 2020

HULU TERENGGANU, 25 Februari - Pembelian pelitup muka untuk diagihkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) tidak menggunakan wang zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, ia diperolehi melalui hasil sumbangan kakitangan jabatan berkenaan termasuk pegawai dan kakitangan anak syarikat agensi kerajaan negeri.
 
 "MAIDAM juga menggunakan peruntukan pentadbiran untuk memenuhi permintaan pengurusan beberapa sekolah menengah di negeri ini.

"Jika ada permohonan dari pengurusan sekolah, kita akan pertimbangkan, tetapi bergantung kepada hasil sumbangan dan peruntukan pentadbiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan pelitup muka untuk kegunaan calon SPM 2020, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan Kuala Berang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, M Rozi yang mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda menyerahkan 2,000 pelitup muka dan pelbagai jenis makanan dan minuman ringan bernilai RM3,000 kepada Pengetua SMK Tengku Ampuan Intan, Mohd Sohaimi Zakaria.

SMK Tengku Ampuan Intan Kuala Berang mempunyai seramai 94 calon SPM 2020, dan 56 calon tinggal di asrama sekolah berkenaan.