• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

MAIS Sumbang RM200 Ribu Bantu Mangsa Banjir Di Terengganu Dan Kelantan

KUALA TERENGGANU, 8 Januari – Terengganu dan Kelantan bakal menerima bantuan banjir, masing-masing berjumlah RM100,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib mangsa banjir yang terjejas di kedua-dua negeri baru-baru ini.

“Setiap negeri masing-masing menerima RM100,000 dalam bentuk wang tunai RM50,000 dan 500 pek makanan seperti beras, tepung, minyak dan gula.

"Sumbangan akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Ini merupakan tradisi MAIS apabila ada sahabat dari negeri lain mengalami kesusahan seperti banjir, tanah runtuh atau kemalangan kita akan bantu seperti mana Selangor juga pernah menerima bantuan ketika dilanda banjir 2021,”katanya.

Jelas beliau, sumbangan RM200,000 tersebut meliputi peruntukan daripada Baitulmal MAIS, Perbadanan, Wakaf Selangor (PWS), Universiti Islam Selangor (UIS).

Turut terbabit dalam menyediakan peruntukan berkenaan ialah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).

"Daripada jumlah itu, MAIS menyumbang wang tunai sebanyak RM125,000, manakala agensi dan anak syarikat MAIS iaitu PWS, UIS, YIDE, BSHSB dan Teras menyumbang sumbangan terkumpul sebanyak RM75,000,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, MAIS menyumbang RM300,000 kepada penduduk Kelantan dan Terengganu yang terkesan banjir pada Mac tahun lalu sebagai tanda solidariti antara majlis agama Islam negeri-negeri bagi menyantuni mangsa banjir.