• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

MAIWP Sumbang RM1.25 Juta Untuk Mangsa Banjir Terengganu

KEMAMAN, 11 Februari - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyumbang sebanyak RM1.25 juta untuk mangsa banjir yang terjejas pada awal tahun ini di Terengganu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, secara keseluruhan sebanyak RM5 juta melalui dana zakat di Wilayah Persekutuan diperuntukkan untuk sumbangan itu.

"Sumbangan ini dibahagikan kepada empat negeri iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Setiap negeri menerima RM1.25 juta terdiri daripada bantuan barangan dan keperluan rumahtangga bernilai RM1 juta dan sumbangan kepada masjid dan surau yang terjejas dengan banjir sebanyak RM250,000.

"Manakala bantuan RM250,000 itu telah disalurkan ke akaun Majlis Agama Islam Negeri untuk pengagihan.

"Secara keseluruhan sebanyak 2,000 set bantuan diagihkan di negeri ini. 1,500 ditempatkan di daerah Kemaman, manakala 500 lagi akan ditempatkan di daerah Dungun," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). 

Antara barangan yang disumbangkan ialah toto, dapur memasak, cerek air elektrik, periuk nasi, lampin pakai buang, sejadah, kain pelikat, kain batik, tuala, tuala wanita dan makanan kering.

Istimewa untuk negeri Terengganu, Yayasan Taqwa MAIWP telah bersetuju menyumbangkan RM20,000 secara tunai untuk disampaikan kepada penduduk-penduduk miskin di daerah Kemaman dan Dungun.

Nizam telah menyerahkan sumbangan berbentuk 1,500 set barangan dan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada Pegawai Daerah Kemaman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang mewakili daerah Kemaman dalam majlis ringkas yang diadakan di Dataran Padang Astaka Kemaman, semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M.Rozi Bidin dan Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman.


Tag: