• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Majlis Daerah Marang Raih Lima Anugerah

KUALA TERENGGANU, 23 November - Kumpulan inovasi Majlis Daerah Marang (VCLEAN) berjaya merangkul lima anugerah di Majlis Anugerah Persada Inovasi Terengganu 2022.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata VCLEAN tersebut berjaya membawa pulang RM13,500 beserta trofi dan sijil penyertaan.

“Kumpulan daripada Majlis Daerah Marang ini telah lama melibatkan diri dalam inovasi iaitu pada tahun 2018 telah memperolehi dua bintang dan hari ini berjaya menjadi juara dalam banyak kategori.

“Antara kategori yang berjaya diraih oleh VCLEAN adalah anugerah Emas, 5 bintang, Persembahan Terbaik, Dokumentasi Terbaik, dan Piala Pusingan yang merupakan Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Persada Inovasi Terengganu yang berlangsung di Wisma Darul Iman semalam.

Tambah Bijaya Raja, majlis ini diadakan bertujuan meraikan kumpulan dan jabatan yang telah berjaya menghasilkan projek inovasi serta memberikan komitmen yang terbaik bagi memartabatkan inovasi dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Zuwisnan Awang berkata inovasi (VCLEAN) iaitu 'Adjustable Loader' merupakan projek inovasi kreatif yang digunakan untuk membersihkan sistem perparitan dan longkang yang bermula sejak Ogos tahun 2021.

Sebelum ini, VCLEAN telah memperkenalkan inovasi 'Smart Bucket Backhoe' yang merupakan bakul berjaring besar yang boleh dipasang dan dialih pada jentolak.

Beliau berkata, inovasi ini mengatasi masalah sampah sarap yang banyak di pantai.

“Projek-projek ini adalah gabungan kerjasama diantara pekerja-pekerja, fasilitator, pihak pengurusan, dan kontraktor yang berjaya menjayakan projek ini.

“VCLEAN juga telah berjaya mendapat pingat emas di peringkat antarabangsa iaitu dalam International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2022 yang dilangsungkan di Jakarta, Indonesia,” Katanya.

 


Tag: