• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Majlis Daerah Marang Wujud 'Task Force' COVID-19

MARANG, 10 Oktober - Majlis Daerah Marang (MDM) telah mewujudkan satu 'Task Force' khas untuk mengawal dan melakukan sanitasi bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19 terus berlaku di daerah ini.

Pasukan itu terdiri daripada Penguatkuasa MDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan agensi-agensi terbabit.

Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, mereka akan memantau secara lebih terperinci di seluruh kawasan rekreasi, premis perniagaan, pasar dan tempat-tempat lain di bawah pentadbiran MDM.

"Sementara itu, pasar awam dan pasar malam dibuka seperti biasa namun pihak kami akan lebih memperketatkan pematuhan Prosesur Operasi Standard (SOP) di kalangan peniaga dan orang awam.

"Manakala pasar giliran dan pasar pagi hanya dibenarkan untuk dibuka sekali sahaja pada setiap minggu," jelasnya ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman hari ini.

Menurutnya, aktiviti nyahkuman pula akan dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menganggu waktu operasi premis perniagaan.

"Proses sanitasi juga akan dilakukan di semua pasar awam setiap hari iaitu pada waktu malam kerana aktiviti perniagaan tidak dijalankan pada waktu tersebut," tambahnya.

Untuk rekod, satu pekeliling telah dikeluarkan melalui media sosial dan laman rasmi Facebook MDM, berkaitan arahan tersebut.

 


Tag: