• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Majlis `Namat' Khatam Al-Quran, Rai Penduduk Setempat

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 26 Mei- Pada penghujung Ramadan kebanyakan surau dan masjid di Terengganu berlumba-lumba mengadakan `majlis namat (penamat)' sebagai simbolik penutup majlis tadarus al-Quran dan program Ihya Ramadan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ahli jawatankuasa surau dan masjid akan menganjurkan majlis berkenaan dengan mengadakan gotong-royong memasak juadah diikuti majlis berbuka puasa untuk meraikan penduduk setempat.

"Maka akan dapat dilihat terjalinnya perhubungan yang harmoni di antara masyarakat setempat.

"Serta akan saling bekerjasama di antara satu sama lain, menyiapkan juadah dan hidangan berbuka puasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada `Majlis Namat' Surau Bukit Belah, di Felda Jerangau yang dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)  Felda Jerangau Cawangan A,di sini, semalam.



Ghazali berkata, pada kebiasaan majlis seumpama itu dianjurkan secara bergilir-gilir di kampung-kampung bergantung kepada jumlah surau yang ada.

"Penganjuran secara bergilir, sebagai contoh hari ini surau A, esok atau lusa pula Surau B, begitulah seterusnya.

"Majlis seumpama ini sudah dilaksanakan sejak sekian lama dan menjadi ingatan kepada kita bahawa Ramadan semakin melabuhkan tirainya serta inilah masanya untuk berlumba-lumba memperbanyakkan ibadat sebagaimana yang dituntut dan dianjurkan dalam Islam," katanya.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut meraikan 30 anak yatim yang menerima sumbangan duit raya.

Katanya, sumbangan itu diharap dapat menggembirakan anak yatim berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


Tag: