• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Majlis Pekerjaan Belia Atasi Masalah Pengangguran

KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Malaysia sedang berusaha menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan anak muda di negara ini melalui penubuhan Majlis Pekerjaan Belia.

Ahli Dewan Negara, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya yakin majlis itu mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada seramai 500,000 belia melalui tiga insiatif.

"Pertama, 'My Future Job' dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah pun dilaksanakan boleh diakses melalui internet, kedua ialah program Skim Perantisan Nasional (SPN) dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Terakhirnya ialah 'Mari Kerja' di bawah Institut Automotif, Robotik dan Internet Of Things (IoT) Malaysia atau di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di TV Darul Iman melalui E-Forum : 'Survival Hidup Belia, Apa Kata Senator? ', baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia memberitahu bahawa usaha tersebut merupakan cadangan daripada pihaknya yang telah diterima oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ditakdirkan Allah perkara itu  diangkat dalam bajet 2021 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

"Jika kita dapat menyelesaikannya melalui insiatif ini, tinggal lagi 300,000 belia menganggur yang boleh kita uruskan pula pada tahun 2022, pada waktu itu insya-Allah pandemik Covid-19 lebih terkawal dengan adanya vaksin," ujarnya.

Kata beliau, impian untuk mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia menjadi prinsip asas kepada belanjawan negara di samping meningkatkan percambahan ekonomi rakyat dan mengawal inflasi untuk memastikan kesejahteraan rakyat.


Tag: