• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Mangsa kebakaran rumah di Kampung Gong Nangka, Nik Abdullah atau Mak Nik, 85, menyatakan kesyukuran apabila menerima sumbangan rumah baharu semalam.

“Syukur alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak saya ucapkan atas keperihatinan wakil rakyat terhadap nasib kami,” luah Mak Nik ketika ditemui oleh pemberita baru-baru ini.

Sumbangan rumah tersebut diberikan susulan tragedi kebakaran yang telah mengakibatkan rumah beliau hangus sepenuhnya pada 7 September lalu. 

“Alhamdulillah, rumah ini telah siap sepenuhnya dan hari ini kami serahkan rumah ini kepada Mak Nik.

“Insya Allah rumah ini akan memberikan kehidupan baru yang lebih baik kepada Mak Nik sekeluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merasmikan majlis penyerahan rumah tersebut.

Rumah tersebut merupakan hasil bantuan dana daripada Tabung Darul Iman dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan diuruskan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk.

Terdahulu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama agensi-agensi kebajikan telah hadir menghulurkan sumbangan secara ‘one-off’ bagi meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh Mak Nik.