• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

"Makang Durian Sapa Kenyang" Masuk Dalam Kalendar Pelancongan



Oleh : Khairan Mat Jusoh

MARANG, 3 September 2019 – Kerajaan negeri bercadang menjadikan program "Makang Durian Sapa Kenyang" sebagai aktiviti tahunan bertujuan menarik lebih pelancong ramai bertandang ke Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu YB Ustaz Ariffin Deraman, program itu juga akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan mulai tahun depan.

"Insyaallah, pada tahun hadapan saya berjanji akan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong  akan menjadikan tempat ini sebagai salah satu tempat pelancongan yang menarik untuk kawasan Marang bahkan di Terengganu." katanya,.


Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui semasa program itu, di Bukit Sungai Serai, di sini, baru-baru ini.

Lebih 2,000 pengunjung terutama peminat durian hadir menyertai program yang julung kali dianjurkan  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Serai, Pejabat DUN Pengkalan Berangan dan mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Marang serta Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Sementara itu Sulaiman bersyukur  pihaknya berjaya memperkenalkan dua destinasi tanah tinggi sebagai lokasi pelancongan iaitu Bukit Sungai Serai berketinggian 320 meter dan Bukit Temiang Agro Hiking 328 meter di peringkat DUN.


“Di dua lokasi itu dianjurkan program "Makang Durian Sapa Kenyang"  sempena bulan kebangsaan sekaligus  membolehkan peserta merasai suasana, mengetahui susah payah pekebun mencari dan membawa turun raja buah itu,”katanya.


Tag: