• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Malam Cinta Rasul Disambut Meriah, 15 Ribu Hadir

KUALA NERUS, 21 Julai - Program Malam Terengganu Cinta Rasul telah mencipta sejarah tersendiri apabila seramai 15,000 rakyat hadir memeriahkan program berkenaan.

Lebih menarik program tersebut telah mendapat sambutan yang mengalakkan daripada kalangan anak muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, dengan sambutan ramai itu menunjukkan usaha kerajaan negeri selama ini untuk memperhebatkan program keagamaan mencapai matlamat.

"Komitmen kerajaan negeri selama ini adalah untuk mengajak masyarakat agar sentiasa bersama dengan Islam, mencintai Rasulullah dan mengikuti segala sunnah baginda.

"Dalam masa yang sama kerajaan negeri berusaha mendekatkan rakyat dengan golongan agamawan terdiri daripada para alim ulama, tuan guru dan para guru-guru agama yang merupakan pewaris para nabi dan para rasul," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Terengganu Cinta Rasul yang didakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, di sini, semalam.

Antara Tuan Guru (TG) serta pendakwah yang hadir bagi mengisi program bersempena dengan Sambutan Semarak Dakwah itu ialah Ustaz Azhar Idrus, Habib Nael Thohir, TG Habib Syed Suhaimi, TG Babas Suplar, TG Ustaz Raqim Annuria dan Pencetus Ummah (PU) Syed.

Selain itu turut menampilan kumpulan nasyid In-Team, Qasidah Shoutul Muhibbin serta Ustaz Ahmad Muzani

Dalam pada itu Mohd Nor turut mengharapkan agar usaha berterusan kerajaan negeri selama ini mengadakan program-program keagamaan akan berupaya mendidik rakyat serta menyuntik jiwa rakyat agar meletakkan Islam di kedudukan yang tertinggi serta mencapai reda Allah.

"Saya mewakili kerajaan negeri memohon agar tuan guru, ustaz-ustaz dan seluruh yang hadir pada malam ini dengan perasaan rendah diri memohon mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa kami selaku pemimpin negeri yang sudah tentu banyak kelemahan.

"Serta mendoakan agar Allah mendatangkan keberkatan pada kerjaan negeri ini," ujarnya.