• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Malaysia Iktiraf Terengganu Sebagai Destinasi Pelancongan Utama Negara

KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Terengganu dilihat berpotensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan utama negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata,  Terengganu memiliki kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semula jadi, mempunyai keunikan budaya kesenian, warisan dan tinggalan sejarahnya yang tersendiri.

"Terengganu sangat terkenal memiliki pesisiran pantai terpanjang dan indah sejauh 244 Kilometer (KM), antara yang menarik lagi ialah adanya tasik buatan yang terbesar di Asia Tenggara dan pulau-pulau.

"Selain itu Terengganu memiliki pusat seni ukiran, industri batik dan songket. Justeru amat tepatlah Terengganu dikenali sebagai negeri yang cantik, budaya menarik serta orangnya baik-baik dan berbudi bahasa.

"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus memainkan peranannya sebagai agensi utama dalam industri pelancongan bagi merancakkan semula industri ini setelah teruk terjejas akibat Covid-19 sebelum ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022, di Dataran Drawbrige pada semalam 

Majlis yang julung-julung kali diadakan di negeri ini yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Tengku Seri Bijaya Raya Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Kata Nancy, majlis yang dihadiri oleh 70,000 rakyat bukan hanya dari negeri Terengganu bahkan dari seluruh negara itu melambangkan kesepaduan, keserasian sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

"Dihadiri oleh semua rakyat daripada pelbagai kaum untuk sama-sama memeriahkan sambutan ini, dimana identiti kepelbagaian kaum di Malaysia inilah yang telah menjadi keunikan serta salah satu tarikan utama pelancong ke negara ini.

"Segala elemen yang dimiliki termasuk seni dan budaya daripada pelbagai bangsa ini telah mencorakkan negara yang selama ini hidup dalam suasana aman dan harmoni sehingga dunia mengenali Malaysia.

"Sekali gus menjadi kunci utama untuk dijadikan sebagai sumber kekuatan untuk kita berusaha merancakkan kembali industri pelancongan di negara ini,"jelasnya lagi.

 


Tag: