• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Malaysia Terima Lebih 600,000 Warga Asing Sejak Pintu Sempadan Dibuka

KUALA NERUS, 21 Mei - Malaysia menerima 604,457 warga asing sejak pintu sempadan antarabangsa kembali dibuka semula pada 1 April lepas.

Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri berkata berdasarkan perangkaan Jabatan Imigresen Malaysia, 93.8 peratus atau 567,025 orang daripada jumlah itu adalah pelancong. 

"Pertumbuhan positif tersebut memberi kelegaan kepada semua sektor termasuk pelancongan yang merupakan antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata demikian di Sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini semalam.

Tambah Ismail, ketika pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara, MOTAC telah menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong asing pada tahun ini dengan pendapatan RM8.6 bilion. 

Justeru itu katanya, sebanyak RM230 juta dalam Belanjawan 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang memberikan manfaat kepada penggiat seni, budaya dan warisan di bawah sektor pelancongan.