BESUT, 24 Disember - Sukarelawan T-Volt bawah kelolaan Urus Setia Belia Sukan dan NGO negeri (UBSNT) memanfaatkan hari cuti bekerja dengan menyertai misi bantuan pasca banjir.
Mardhati Husna Mohd Zailani, 23, berkata dia mendaftar sebagai sukarelawan T-Volt selepas mendapati penyertaan dibuka melalui media sosial rasmi UBSNT.
“Saya terkejut dan sedih ketika bencana ini menimpa negeri kita. Terkejut kerana tidak menyangka paras banjir itu tinggi dan sedih kerana banyak harta benda rosak.
“Jadi kebetulan cuti hujung minggu, sata rasa perlu untuk tolong sebab banyak tempat di Besut yang terkesan,” katanya ketika ditemui di Misi Bantuan Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuh Kawah, Besut hari ini.
Sementara itu, Anis Sakinah Mohd Zubir, 23, menjelaskan dia terpanggil untuk turut serta bagi memberikan sumbangan tenaga dan bantuan emosi buat mangsa terlibat.
Pasukan T-Volt hari ini dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyalurkan bantuan tenaga bagi mangsa banjir seluruh negeri dalam misi melakukan operasi pasca banjir.