• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Manfaatkan Draf RT Untuk Bangunkan Daerah Marang


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 23 November - Orang awam digalakkan untuk mengambil peluang dan ruang bagi memberikan maklum balas, pandangan atau bantahan jika tidak bersetuju terhadap sesuatu cadangan pihak berkuasa perancangan tempatan mengenai Draft Rancangan Tempatan (RT) untuk pembangunan Daerah Marang.

Kerajaan juga menyeru semua pihak menggunakan sepenuhnya tempoh publisiti dan penyertaan awam ini untuk memberikan pandangan bagi mengukuhkan kandungan RT sebelum dipersetujui, diluluskan dan diwartakan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, program publisiti dan penyertaan awam adalah untuk memberi peluang kepada semua pihak, sama ada tuan tanah, pengusaha, pemaju, perunding dan sesiapa sahaja terutama penduduk di daerah ini khususnya kawasa yang terlibat dengan penggubahan ini untuk menyemak, meneliti dan memahami kandungan draf rancangan tempatan yang telah disiapkan.

“Peluang dan ruang telah dibuka kepada semua pihak. Oleh itu, marilah bersama-sama memanfaatkan tempoh program ini dan menyarankan semua pihak mengambil peluang untuk sama-sama merancang pembangunan daerah kita,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Marang di Dataran Daerah Marang, di sini, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Anuar Awang, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohammed, Pegawai Daerah Marang, Mat Azmin Arshad, Pengarah PLANMalaysia Negeri Terengganu, Pegawai Khas ADUN Rhu Rendang, Wahad Osman dan Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Harun Yusof.


Sulaiman berkata, program Publisiti dan Penyertaan Awam itu juga selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang diumumkan dalam Majlis Ucaptama Negeri Terengganu 2018 pada Julai lalu.

Menurutnya, keperluan penyediaan Rancangan Tempatan Daerah Marang 2030 (penggubahan) ini berdasarkan dokumen perancangan yang terkini dan komprehensif.

Tambahnya, dokumen yang sedang diguna pakai pada masa kini tidak selari dengan keperluan dan tekanan pembangunan semasa.

Oleh itu, beliau berkata, kajian semula terhadap dokumen sedia ada adalah perlu agar ianya selari dengan hasrat pemegang taruh dan pelabur di Daerah Marang.

Katanya, matlamat pembangunan Rancangan Tanah Daerah (RTD) Penggubahan, 'Memperkukuhkan Pusat-Pusat Pertumbuhan Daerah Marang Melalui Pengintegrasian Sumber Semula Jadi dan Mineral Secara Inklusif dan Komprehensif' merupakan strategi pembangunan yang dirangka agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak bagi merancakkan pembangunan di Daerah Marang.

Beliau berkata, salinan Draf RT yang siap untuk diperiksa oleh orang awam tidak kurang daripada empat minggu dari tarikh Draft RT bagi membolehkan semua pihak berkepentingan memberi maklum balas, pandangan dan bantahan berkenaan kandungan Draft RT yang disediakan.




Tag: