• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Manfaatkan Kemahiran Untuk Berbakti

DUNGUN, 8 September -Pelajar dan kakitangan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) manfaatkan kemahiran yang dimiliki mereka untuk berbakti kepada masyarakat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). 

Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA, program CRS tersebut telah diadakan di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 baru-baru ini. 

"CSR TVET Ke Hati Komuniti Kampung Pasir Raja dan Perarakan Kayak Merdeka telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 3 dan 4 September lalu. 

"Program yang mendapat kerjasama strategik dengan pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) itu mendapat sambutan yang baik daripada komuniti kampung tersebut," katanya. 

Majlis pelancaran porgram tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah PSMZA, Zamra Derahman di Dataran Kampung Pasir Raja itu dan dalam masa yang sama turut diadakan Majlis Penyerahan Pelajar-pelajar PSMZA kepada keluarga angkat masing-masing. 

Turut hadir  Pengurus Kanan (Korporat) KETENGAH, Mahdi Amin Ahmad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pasir Raja (SKPR), Dr Alias Musa  dan Setiausaha JPKK Pasir Raja Shahdan Musa. 

Sementara itu, Pengurus Program, Mohd Faizol Che Mat berkata, program tersebut bertujuan memperkenal dan mempromosi pelajar - pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang automotif dan pendawaian elektik kepada komuniti. 

"Program yang disertai seramai 40 orang pelajar dan 30 orang kakitangan PSMZA ini telah melaksanakan khidmat masyarakat dengan membaik pulih pendawaian elektrik Balai Raya dan beberapa buah rumah penduduk kampung yang terpilih. 

"Turut menjadi aktiviti CSR ialah perkhidmatan servis motorsikal secara percuma, pemberian dan penyerahan buku kepada Perpustakaan (SKPR) untuk menjadi rujukan kepada murid-murid sekolah itu, " ujarnya. 

Katanya, pada hari kedua program, diadakan aktiviti Perarakan Kayak Merdeka menyelusuri Sungai Pasir Raja hingga ke Kampung Jongok Batu yang diiringi dan dikawalselia oleh Persatuan Kenu Terengganu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Cawangan Dungun. 

"Jarak berkayak lebih kurang 26 kilometer yang memakan masa lebih kurang enam jam itu tidak mamatahkan semangat semua peserta bagi menamatkan dayungan sehingga ke garisan penamat," tambahnya lagi.


Tag: