• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Manfaatkan Peluang Bulan Ramadan - Titah Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 13 April - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru masyarakat Islam agar memperbanyakkan amal dan mengoptimumkan peluang dalam bulan Ramadan walaupun dalam kekangan perintah pergerakan.

Baginda bertitah, kesempatan untuk menghayati bulan Ramadan adalah kurniaan besar kepada seluruh umat dengan 1,000 rahmat dan keberkatan.

"Ramadan adalah bulan yang penuh dengan sejarah kemenangan bagi perjuangan umat Islam, di dalamnya tercatat sejarah hebat perjuangan Islam bermula dengan kemenangan di medan peperangan Badar sehingga kepada pembukaan Kota Mekah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW.

“Kemenangan umat Islam terhasil daripada jati diri yang teguh berpegang kuat dengan agama allah dan perpaduan yang sangat kukuh.

“Oleh itu, beta menyeru marilah kita sama sama memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan umat Islam agar segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi akan dapat diatasi dengan jayanya titah baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan,” titah Baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan Al-Mubarak Tahun 1442 Hijrah kelmarin.

Sultan Mizan turut menyarankan supaya perpaduan dan kesatuan dibentuk melalui niat yang betul, serta mendidik diri merasai kesusahan saudara yang memerlukan.

“Ambil kesempatan bulan ini untuk membina ikatan silaturahim melalui medium solat berjemaah di masjid dan surau, sama ada solat fardhu, solat sunat tarawikh dan lain-lain lagi.

“Sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan ini, mari kita terjemahkan melalui ibadah berzakat, menerusi Malis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

“Bayar zakat menerusi amil-amil zakat yang telah dilantik oleh MAIDAM, mudah-mudahan zakat yang kita keluarkan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya,” titah Baginda.