• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Mangsa Banjir Di Marang Terima RM500

Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad 

MARANG, 21 September – Parlimen Marang mengagihkan sumbangan RM15,500 kepada 31 keluarga yang terlibat dengan bencana banjir yang berlaku akhir tahun lepas.

Agihan sumbangan melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) RM500 kepada setiap isi rumah itu bertujuan meringankan beban yang pastinya mengalami kerugian akibat banjir pada waktu itu.

Berdasarkan rekod, daripada 31 penerima, 15 individi adalah dari Dewan undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, manakala DUN Rhu Rendang 4 orang, DUN Alur Limbat 8 orang dan 4 orang dari DUN Bukit Payong.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Harun Jusoh berkata, peruntukan itu adalah dari Kerajaan Pusat dan difahamkan akan ada tambahan peruntukan dari kerajaan negeri  dengan nilaian yang sama bakal diterima mangsa dalam tempoh terdekat.

Katanya, dengan tambahan peruntukan itu nanti, setiap mangsa layak menerima RM1,000 di mana RM500 pemberian Kerajaan Pusat dan RM500 lagi adalah dari Kerajaan Negeri.

“Sumbangan itu pastinya cukup benilai buat mangsa, jadi gunakan sebaik mungkin, elakkan membeli barangan yang tidak berfaedah” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Wang Ehsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) Daerah Marang Negeri Terengganu 2019/2020 di Dewan Serbaguna Kampung Sena Rendang, Bukit Payong, semalam. 

Turut sama dalam Majlis tersebut, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Timbalan Pengarah Bahagian Bencana & Operasi Jabatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu, Mejar Syed Azam Syed Baharom, Pegawai-pegawai Khas sebagai wakil dari setiap ADUN Marang dan para tetamu jemputan.


Tag: