• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Mangsa Banjir Di Seberang Takir Terima Bantuan RM1,000

KUALA NERUS, 22 April – Seramai 145 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima bantuan sekali bayaran berjumlah RM1,000 kelmarin.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, bantuan itu diberikan kepada mereka yang menjadi mangsa banjir November tahun lalu.

“Sumbangan RM500 masing-masing daripada Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diharap mampu meringankan beban keluarga terlibat.

“Ini adalah usaha kita dalam membantu mereka selepas ujian yang menimpa mereka penghujung tahun lalu.

“Ada juga mangsa banjir yang tak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi turut menerima bantuan ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Mangsa Banjir Tahun 2020 DUN Seberang Takir yang diadakan di Dewan Serbaguna Tok Jembal di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), Muhd Azman Shukri, serta Penghulu Mukim Seberang Takir, Mohd Khairi Ghazali.

Terdahulu, Mohd Khairi berkata, beliau lega selepas bantuan itu dapat diagihkan kepada mangsa banjir yang terjejas.

“Alhamdulillah, kita berjaya selesai dan mempercepatkan agihan bantuan ini dan kebetulan kita akan menyambut syawal tak lama lagi, bolehlah gunakan sumbangan ini,” ujarnya.

Seorang penerima, Zaini Mat Ali, 55, berkata, ketika banjir baru-baru ini, dia mengalami banyak kerugian kerana tidak dapat mengangkat barang-barang sehingga menyebabkan ia rosak.

“Ketika banjir melanda, saya hanya bersama empat orang anak perempuan manakala suami bekerja di Sabah.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri cakna kepada saya dan saya memohon supaya pihak bertanggungjawab meneliti keadaan kampung saya memandangkan banjir setiap tahun,” katanya.
 


Tag: