• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Di Terengganu Makin Meningkat

KUALA TERENGGANU, 25 Februari -Gelombang banjir kelima kembali melanda Terengganu hari ini berikutan hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu.

Antara daerah yang terlibat adalah Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya hujan lebat masih berterusan.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, setakat ini, 13 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri ini.

"PPS yang mula diaktifkan pada hari ini ialah tujuh di Kemaman, tiga di Setiu dan Hulu Terengganu.

"Setakat ini, seramai 828 mangsa daripada 235 keluarga dari ketiga-tiga  daerah telah berpindah ke PPS berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai melepasi paras bahaya di daerah Kemaman iaitu Sungai Tebak setinggi 19.37 meter (m) berbanding 18.5 m dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih setinggi 14.54 m (paras bahaya 14 m).

Enam lagi sungai di empat daerah kini melepasi paras amaran iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu (Sungai Berang, Sungai Peneh dan Sungai Telemong) serta Sungai Nerus di Kampung Langkap daerah Setiu, Sungai Dungun dan Sungai Tumpat di Kemaman.