• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Di Terengganu Melebihi 40,000

KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 40,456 orang setakat jam 8 pagi hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut terdiri daripada semua daerah dalam negeri ini.

Katanya, susulan itu sebanyak 299 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan 11,097 keluarga mangsa di seluruh negeri ini.

“Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 9,147 orang daripada 2,441 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS dalam daerah berkenaan.

“Di daerah Besut pula merekodkan jumlah mangsa seramai 8,536 daripada 2,265 keluarga.

“Tambahnya lagi, daerah Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing mencatatkan jumlah 5,893 dan 4,352 mangsa yang melibatkan 1,952 dan 1,246 keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Manakala, daerah Dungun dan Kuala Terengganu juga meningkat kepada 4,419 dan 2,777 mangsa daripada 1,239 dan 752 keluarga.

Sementara itu, Marang dan Kuala Nerus pula mencatatkan 1,735 dan 3,597 mangsa daripada 440 dan 862 keluarga yang di tempatkan di 28 PPS dalam daerah tersebut.

“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.

 

 


Tag: