• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Ke 5,772

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Situasi banjir di Terengganu dilaporkan semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melonjak kepada lebih 5,000 orang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 5,722 mangsa daripada 1,736 keluarga di 102 PPS setakat 4 petang tadi.

Katanya, ini berbanding hanya 4,463 mangsa daripada 1,315 keluarga di 91 PPS daripada semua lapan daerah terjejas, setakat 10 pagi tadi.

Menurut kenyataan tersebut, banjir di Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,924 melibatkan 521 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS.

"Setiu menjadi daerah kedua tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 1,039 daripada 317 keluarga yang dipindahkan di 25 PPS.

"Di Hulu Terengganu pula 16 PPS diaktifkan dengan menempatkan 1,001 mangsa daripada 429 keluarga," ujar kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, di Dungun pula seramai 804 mangsa daripada 248 keluarga ditempatkan di 11 PPS.

"Jumlah mangsa banjir di Besut mencatatkan 709 orang daripada 148 keluarga dengan 24 PPS diaktifkan.

" Manakala, Kuala Nerus mencatatkan 202 mangsa daripada  63 keluarga yang dipindahkan ke lima PPS," ujarnya.

Tambah kenyataan tersebut, sebuah PPS turut dibuka di Kuala Terengganu yang menempatkan 38 mangsa daripada sembilan keluarga.

"Sementara di Marang sebuah PPS dibuka yang menempatkan sebuah keluarga dengan lima mangsa.

"Keadaan cuaca semasa pula menunjukkan hujan lebat di kebanyakan daerah" jelasnya.