• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Ke 910 Orang

KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu kini mencecah 910 orang, sehingga jam 3 petang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu meningkat berbanding 267 orang pada pukul 8 pagi tadi.

Katanya, Hulu Terengganu adalah daerah terbaharu yang dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong yang menempatkan 30 mangsa.

"Di Kemaman, mangsa terus meningkat kepada 657 orang di tujuh PPS iaitu Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, SK Bukit Mentok, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, SK Binjai, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Serbaguna Kampung Baru Felda Neram.

“Sementara di Dungun pula, mangsa seramai 223 orang di tempatkan di dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor," katanya.
 


Tag: