• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Mangsa Banjir Di Terengganu Menurun

KUALA TERENGGANU, 1 Januari- Mangsa banjir di Terengganu menunjukkan penurunan kepada 165 orang berbanding 451 mangsa sebelum ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 49 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berkenaan.

"Seramai 165 mangsa masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Orang Ramai Kampung Minda dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor di Dungun dan sebuah lagi PPS yang masih dibuka di Kemaman iaitu di Surau Kampung Ban Ho," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Jelas kenyataan itu, keadaan semasa cuaca di Terengganu kini kadangkala hujan renyai di beberapa tempat.

Sementara itu, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, sehingga jam 4 petang Sabtu, tiga stesen sungai utama menunjukkan bacaan melepasi paras amaran.

Dua sungai melebihi paras amaran iaitu di stesen Kuala Jengai, Dungun (20.34 meter) dan Kampung Keruak, Besut (34.32m) menunjukkan trend menurun, manakala satu lagi sungai di Kampung Langkap, Setiu (20.68m) trend menaik.