• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat

KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 1074 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Setakat jam 8 pagi tadi, kesemua mangsa daripada 330 keluarga dipindahkan ke 12 PPS di Dungun dan Kemaman.

Daripada jumlah itu, seramai 920 mangsa membabitkan 285 keluarga dipindahkan ke sembilan buah PPS di Kemaman iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Masjid Tebak Batu 16, Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, Dewan Orang Ramai Pasir Gajah dan Balai Raya Padang Kemunting.

Sementara itu, di daerah Dungun pula seramai 154 mangsa daripada 45 keluarga berpindah ke tiga buah PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.

Tengah hari semalam, hanya 815 mangsa daripada 207 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di daerah sama.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kemaman sekali lagi menjadi daerah yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang kelima.

“Berdasarkan keadaan cuaca semasa, berlaku hujan renyai sesekali lebat serta angin kencang di bahagian pantai,” ujarnya.