• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat Malam Ini

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dengan 7,488 mangsa daripada 2,215 keluarga ditempatkan di 127 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di semua lapan daerah di Terengganu setakat jam 10 malam ini berbanding 6,733 mangsa daripada 1,997 keluarga, 6 petang tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan,  banjir di Kemaman semakin buruk apabila jumlah mangsa semakin bertambah dengan 19 PPS diaktifkan bagi menempatkan 2,041 penduduk daripada 559 keluarga.

"Setiu pula mencatatkan seramai 1,162 daripada 361 keluarga yang dipindahkan di 28 PPS.

"Di Hulu Terengganu pula, 24 PPS diaktifkan dengan menempatkan 1,811 mangsa daripada 654 keluarga," ujar kenyataan itu.

Katanya, di Dungun pula seramai 1,119 mangsa daripada 331 keluarga ditempatkan di 17 PPS.

"Jumlah mangsa banjir di Besut mencatatkan 1,105 orang daripada 236 keluarga dengan 32 PPS diaktifkan.

"Manakala, Kuala Nerus mencatatkan 205 mangsa daripada  64 keluarga yang dipindahkan ke lima PPS," ujarnya.

Tambah kenyataan tersebut, sebuah PPS turut dibuka di Kuala Terengganu yang menempatkan 40 mangsa daripada sembilan keluarga.

"Sementara di Marang sebuah PPS dibuka yang menempatkan sebuah keluarga dengan lima mangsa.

"Keadaan cuaca semasa pula menunjukkan hujan lebat di kebanyakan daerah" jelasnya.