• 03 Ogos 2021 | 24 Zulhijah 1442

Mangsa Banjir Di Terengganu Terus Meningkat Petang Ini

KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak mencecah 9,322 orang daripada 2,316 keluarga setakat jam 6 petang ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 6,511 mangsa banjir daripada 1,623 keluarga pada jam 10 pagi tadi.

Katanya, setakat ini 46 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat daerah terjejas iaitu 25 di Kemaman, Dungun (14), Hulu Terengganu (empat) dan Besut (tiga).

"Daerah yang paling teruk terjejas iaitu Kemaman terus merekod pertambahan jumlah mangsa kepada 7,781 orang daripada 1,875 keluarga berbanding 5,368 orang daripada 1,296 keluarga sebelah pagi tadi.

"Sementara Dungun pula, jumlah mangsa bertambah kepada 1,201 orang daripada 347 keluarga berbanding 849 orang daripada 244 keluarga sebelum ini," ujarnya.

Che Adam berkata, jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu pula merekodkan peningkatan kepada 228 orang daripada 67 keluarga, berbanding 200 orang daripada 60 keluarga.

"Manakala di Besut jumlah mangsa bertambah kepada 112 orang daripada 27 keluarga berbanding 94 orang daripada 23 keluarga," katanya.