• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Dipindahkan Ke PPS Meningkat Kepada 3,434

KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu meningkat kepada seramai 3,434 orang di lima daerah setakat jam 4 petang tadi.

Mangsa membabitkan keseluruhan 985 keluarga yang ditempatkan di 67 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Besut dan Setiu, bertambah berbanding hanya 3,229 daripada 896 keluarga di 63 PPS setakat 2 petang tadi. 

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, banjir di Kemaman semakin buruk apabila jumlah mangsa semakin bertambah dan 21 PPS diaktifkan bagi menempatkan 1,995 penduduk daripada 539 keluarga, meningkat daripada 1,914 mangsa membabitkan 518 keluarga di PPS yang sama dua jam sebelumnya.

Di Hulu Terengganu, 562 mangsa daripada 207 keluarga berada di 16 PPS, manakala di Besut, jumlah mangsa turut meningkat apabila 106 keluarga membabitkan 471 penduduk berada di 15 PPS setakat jam 4 petang, berbanding 466 mangsa daripada 105 keluarga di 13 PPS setakat 2 petang tadi.

Jumlah penduduk dipindahkan di Setiu turut meningkat kepada 305 mangsa di 10 PPS yang menempatkan 105 keluarga berbanding 297 mangsa daripada 103 keluarga di PPS yang sama.

Manakala di Dungun, 101 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan ke lima PPS berbanding 59 mangsa daripada 15 keluarga dengan jumlah PPS tidak berubah.