• 03 Ogos 2021 | 24 Zulhijah 1442

Mangsa Banjir Gembira Dibenar Pulang

KUALA NERUS, 29 November – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mangsa-mangsa banjir setelah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal ditutup sepenuhnya pada pagi kelmarin.

Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zainal Lasim, berkata semua kawasan terjejas ditenggelami air sudah pun surut sepenuhnya selepas empat hari beroperasi ekoran cuaca cerah.

Katanya, sebelum ini SK Tok Jembal menempatkan seramai 127 mangsa membabitkan 32 keluarga pada hari pertama sebelum ditutup pada jam 10 pagi.

“Bagaimanapun, pihak sekretariat terdiri daripada Pusat Khidmat DUN Seberang Takir, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sentiasa bersedia melakukan pemantauan keadaan hujan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fadhil Wahab dalam ucapanya selepas penyerahan sumbangan menegaskan, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan mangsa-mangsa sepanjang berada di PPS seperti penyediaan makanan, khemah, dan keperluan lain.

 


Tag: