• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Mangsa Banjir Meningkat Di Setiu


Oleh : Ariss Alias, Dzakaria Mohd Salleh,Helmi Abd Salam


SETIU, 13 Disember - Hujan lebat yang berterusan semalam menyebabkan dua lagi pusat pemindahan sementara banjir dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap sehingga jam 3 pagi ini, menjadikan tiga pusat pemindahan keseluruhan dengan yang pertama dibuka pada jam 9.45 malam semalam (Rabu), di Masjid Kampung Merbau Menyusut.

Dua orang kanak-kanak perempuan dan tiga lelaki dipindahkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat pada jam 2.55 pagi, di Balairaya Kampung Langkap.

Sebelum itu, PPS Surau Bukit Nyor menempatkan sebuah keluarga melibatkan tiga orang dan menjadikan keseluruhan 55 mangsa selepas tujuh lagi mangsa dipindahkan ke PPS Masjid Merbau Menyusut.

Seorang penduduk, Zulkifli Salleh,46, berterima kasih kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pihak bomba yang bertindak cepat untuk mengarahkan mereka berpindah ketika air semakin naik.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Setiu, Tuan Mustafa Ismail operasi menyelamat yang dijalankannya bersama 15 anggota sehingga kini berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah...kita mendapat kerjasama yang baik daripada (MPKK) yang terbabit dan juga penduduk yang berpindah," ujarnya ketika ditemui.

Sementara itu Pengerusi MPKK Kampung Langkap, Mat Yazid Awang yang ditemui turut berpuas hati dengan tindakan pasukan Bomba dan Penyelamat dalam membantu mangsa banjir dan berkata pihaknya telah bersedia dengan fasiliti yang ada bagi  menghadapi kemungkinan lebih banyak lagi mangsa yang akan berpindah.




Tag: