• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Mangsa Banjir Pahang Terharu Bantuan Rakyat Terengganu

TEMERLOH, 28 Disember – Orang ramai di daerah ini terharu dengan keprihatinan dan bantuan sukarelawan dari Terengganu yang membersihkan premis serta kediaman terjejas banjir.

Pembantu Klinik Kesihatan Temerloh yang juga mangsa bah, Mohd Faizal Alian, 29, berkata usaha sukarelawan daripada agensi kerajaan Hulu Terengganu membersih sampah dan longkang di luar klinik tersebut menyentuh hati mereka.

“Banyak jasa dan bantuan tenaga dikerahkan oleh pasukan ini, segala sisa-sisa daripada banjir baru-baru ini telah dikumpulkan mereka dalam satu tempat.

“Dinding dan pagar turut dibersihkan daripada lumpur menggunakan ‘water jet’, kalau ikutkan seluruh lantai perkarangan klinik ini dipenuhi kesan banjir, alhamdullilah hari ini sudah berkurang hasil usaha mereka.

“Saya mewakili klinik kesihatan di sini berterima kasih kepada wakil yang datang daripada negeri Terengganu, Kerajaan negeri, Jabatan Kerja Raya Hulu Terengganu dan mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat,” katanya yang juga anak perantau berasal dari Telemong.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang di Klinik Kesihatan Temerloh, hari ini.

Terdahulu, Faizal menceritakan detik cemas apabila tempat kerjanya itu dinaiki air pada 20 Disember akibat limpahan Sungai Semantan yang terletak berhampiran klinik.

“Ini menyebabkan kami terpaksa memindahkan operasi kesihatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh sepanjang lima hari.

“Kebanyakan peralatan penting telah dipindahkan oleh staf-staf kami melihat kepada keadaan air yang meningkat dengan kadar yang laju,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai 650 sukarelawan terdiri daripada Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) melalui T-Volt (Terengganu Volunteer) serta agensi kerajaan lain akan mengadakan operasi bantuan pasca banjir selama tiga hari bermula hari ini melibatkan kawasan Temerloh dan Mentakab.