• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Terengganu Terus Bertambah

KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Hujan tak ‘celik’ mata atau lebat sejak malam tadi sehingga kini menyebabkan jumlah mangsa terus meningkat di Terengganu kepada lebih 5,000 orang.

Marang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir menjadikan keseluruhan tujuh daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.

Paling terjejas di Hulu Terengganu, apabila lebih 2,000 orang berada di 34 PPS di Telemong, Ajil dan Kuala Berang.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), 103 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu 40 di Besut, Hulu Terengganu (34), sembilan di Dungun, masing-masing satu di Kuala Terengganu dan Marang,  Setiu (11), Kemaman ( tujuh) setakat ini.

Seramai 13 orang daripada tiga keluarga terbabit di Kuala Terengganu, Setiu (725 orang daripada 227 keluarga), Dungun (196 orang daripada sembilan keluarga), Kemaman (598 orang daripada 146 keluarga), Besut (1712 orang daripada 461 keluarga) dan Hulu Terengganu (2207 orang daripada 732 keluarga).

Sehingga kini, hujan lebat masih berterusan dan dijangka jumlah mangsa banjir akan terus meningkat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada awal pagi tadi mengeluarkan amaran cuaca tahap bahaya dengan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan bermula hari ini hingga Selasa.