• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Mangsa Banjir Terengganu Tinggal 1,694 Orang

KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Banjir gelombang kelima di Terengganu semakin surut dengan hanya tinggal 1,694 mangsa daripada 504 keluarga yang masih berada di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Kemaman masih mempunyai 1,302 mangsa daripada 404 keluarga.

“Kesemua mangsa banjir terbabit masih ditempatkan di sembilan PPS di seluruh Kemaman.

“Manakala lapan PPS pula masih aktif di Dungun dengan menempatkan 392 mangsa daripada 100 keluarga,” katanya.

Che Adam berkata, cuaca mendung dilaporkan di kebanyakan kawasan terlibat dengan cuma sebahagiannya masih hujan.

Tambah beliau, paras lembangan sungai utama di kedua-dua daerah itu juga menunjukkan trend penuranan di bahagian hulu.

Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu telah menjejaskan lebih 13,000 penduduk di lima daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.