• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Terperangkap 24 Jam Di Kem Rekreasi Budi  Diselamatkan

HULU TERENGGANU, 28 Februari - Terperangkap selama 24 jam, akhirnya diselamatkan menjadi kenangan buat 68 mangsa banjir di Kem Rekreasi Budi di Belukar Bukit.

Penyelianya, Farhan Zakaria, 38, kesemua mereka berada di kem berkenaan sejak jumaat untuk program kem solat melibatkan peserta dan keluarga dari serata Malaysia.

"Pada 5.30 pagi semalam, air naik dengan laju menyebabkan kami semua bergegas ke surau yang terletak di tempat tinggi dengan segala barang keperluan.

"Asrama, dapur dan sebahagian bangunan ditenggelami air 1.5 hingga lima meter...kejadian ini lebih teruk dari tahun 2014,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd, berkata pihaknya mendapat maklumat pada jam 7.30 malam semalam.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menghubungi salah seorang peserta melalui keluarga yang datang ke balai bomba.

"Namun disebabkan kesukaran untuk masuk ke lokasi, kami terpaksa mulakan operasi 8.30 pagi tadi dengan kekuatan sembilan anggota, tiga lori dan satu hilux.

"Operasi selesai pada jam 1 tengahari dan semua mangsa dihantar ke Ibu Pejabat Polis daerah untuk tindakan lanjut,"katanya.