• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Mangsa Lemas di Lubuk Tampin, Air Putih Ditemui

 

KEMAMAN, 27 Februari - Mangsa lemas yang dilaporkan hilang di Sungai Lubuk Tampin, Air Putih kelmarin ditemui pagi tadi.

Jenazah bapa kepada tiga orang anak, Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jarak 300 meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam sekitar jam 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata operasi mencari dan menyelamat yang bermula jam 7 pagi tadi membabitkan seramai 51 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Amal, polis bantuan dan penduduk kampung.

Katanya, pasukan operasi mencari dan menyelamat memperluaskan kawasan pencarian sekitar 500 meter dari tempat mangsa terjatuh.

"Mayat mangsa dipercayai tenggelam di dasar sungai terbabit yang dianggarkan sedalam lima hingga tujuh meter.

"Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan kaedah kocakan air dengan menggunakan bot dan tindakan itu berhasil apabila mayat mangsa timbul di permukaan air," katanya.

​​​​Hanyan berkata, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke daratan sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian semalam, mangsa yang berkelah disitu bersama keluarga dikatakan cuba menyelamatkan anaknya, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang dihanyutkan arus ketika mandi di sungai terbabit, kira-kira jam 1.45 petang.

Arwah merupakan salah seorang daripada kakitangan EPIC Berhad yang bertugas dengan Tubex Sdn. Bhd. di Kemaman Supply Base (KSB).