• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Mangsa Ribut, Kebakaran Terima Bantuan RM300 Ribu

HULU TERENGGANU, 27 Julai - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengagihkan RM300,000 kepada mangsa ribut dan kebakaran di seluruh Terengganu sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata semua bantuan ini bukan menggunakan duit zakat, namun dari sumber kewangan am Maidam kerana ada penerima bukan dari golongan asnaf.

"Bagi pemilik rumah yang terbakar 100 peratus, kita berikan bantuan RM3,000 manakala terbakar 70 peratus ialah RM2,000 dan kurang dari itu kita beri RM1,000 atau RM500.

"Untuk bantuan mangsa ribut pula, kita beri wang tunai RM300 untuk meringankan beban kewangan mangsa ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika turun padang menyampaikan bantuan kepada lima keluarga yang menjadi mangsa ribut di Kampung Bukit Kolam, Ajil di sini hari ini.

Tambah Dr Ahmad Azrin lagi, dari jumlah tersebut paling ramai penerima merupakan mangsa ribut berbanding kebakaran.