• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Mantan Mufti Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Mantan Mufti Negeri, Dato’ Al-Syeikh Abdul Halim Abd Kadir telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Terengganu bersempena Sambutan Maal Hijrah Tahun 1443H/2021M.

Anugerah tersebut diumumkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dalam Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan atas talian, semalam.

Menurut Abdul Halim, penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan buat dirinya dalam dunia keilmuan Islam.

"Syukur kepada Allah SWT, dan saya mengucapkan seribu penghargaan kepada kerajaan negeri dan barisan penganjur atas penghargaan ini," katanya menerusi siaran langsung di TVDI.

Beliau yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) sejak tahun 2007 membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, Piala Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021M dan Sijil Penghargaan.

Menurut JHEAT, latar belakang pendidikan Abdul Halim bermula dengan pendidikan awal di pondok Jertih dan kemudian memperoleh pendidikan di peringkat menengah rendah di Sekolah Darul Ulum, Mekah al-Mukarramah dari tahun 1953 hingga 1956.

Dari tahun 1960 hingga 1965, beliau menuntut di Kuliah Syariah, Universiti al-Azhar, Mesir. Pada tahun 1966, beliau mendapat Diploma Pendidikan di universiti yang sama.

Beliau juga turut aktif menyumbang tenaga dalam aktiviti luar sebagai Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kota Bharu, Kelantan (1957-1978), Pengerusi ABIM Wilayah Persekutuan (1981-1988) dan Pengerusi Persatuan Ulama’ Wilayah Persekutuan (1984-2000 kecuali tahun 1993-1994).

Pada tahun 2000, beliau dilantik secara kontrak sebagai Mufti Kerajaan Negeri Terengganu sehingga 2004.

Abdul Halim telah dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato' oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada 20 Julai 2003.

Dalam pada itu, Imam Masjid Kampung Rawai, Marang, Abd Wahab Muhammad telah dinobatkan sebagai Tokoh Imam Cemerlang dan dihadiahkan wang tunai RM5,000, Piala Tokoh Maal Hijrah serta sijil penghargaan.

Manakala, Tokoh Bilal Cemerlang pula dianugerahkan kepada Mohd Puteh daripada Masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus yang turut menerima dihadiahkan wang tunai RM5, 000, Piala Tokoh Maal Hijrah dan sijil penghargaan.