• 03 Dis 2021 | 27 Rabiul Akhir 1443

Marang Catat Mangsa Banjir Tertinggi

MARANG, 3 Disember - Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu melaporkan daerah Marang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 660 orang mangsa setakat jam 8.43 malam hari ini.

Sekretariat tersebut dalam satu laporan berkata, daripada jumlah tersebut, pusat pemindahan di SK Rusila mencatat angka paling tinggi iaitu seramai 186 orang daripada 49 keluarga. 

Selain itu, sebanyak empat pusat pemindahan baharu dibuka hari ini iaitu di SMK Merchang, SK Tasek, SMK Seri Payong dan Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai yang turut mendorong peningkatan kes di daerah ini.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, sumbangan segera telah diberikan kepada semua mangsa banjir di daerah ini 

"Alhamdulillah, kita (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang) baru selesai membuat lawatan pusat pemindahan di SK Rusila pada hari ini dan di sini mangsa banjir ni agak ramai iaitu berjumlah 186 orang. 

"Saya mewakili parlimen Marang turun melawat dan juga memberi sumbangan kewangan pada mangsa-mangsa banjir ini untuk meringankan beban yang dialami mereka," katanya kepada wakil wartawan UPDI sejurus selesai agihan bantuan bertempat di SK Rusila, dekat sini, hari ini. 

Beliau turut mengulas  berkenaan kesiapsiagaan jentera penyelamat dalam menghadapi apa-apa kemungkinan di luar jangka. 

"Di samping itu, kita turut  melihat dan meninjau perkembangan persediaan pihak berkuasa dalam misi bencana banjir ini. Alhamdulillah nampaknya sangat bagus," katanya

Berdasarkan tinjauan semasa yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air semasa di Sungai Marang mencatat bacaan 1.39m dan dalam trend menaik, namun belum memasuki zon waspada atau amaran.


Tag: