• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Maraton Berkasut 'But', Imbau Kenangan Patriot

Mamat Ismail. 
Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA NERUS, 4 September - Pesara tentera, Mamat Ismail, gembira dapat melepaskan kerinduannya sewaktu berkhidmat kepada negara dalam acara Marathon Merdeka 2019 yang pertama kali diadakan sempena Hari Kemerdekaan ke-62, baru-baru ini.

Lelaki berusia 65 tahun berasal dari Kampung Baloh itu mencipta kejutan menamatkan larian sejauh lapan kilometer dalam acara anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN)Buluh Gading, apabila berlari dengan memakai kasut tentera sahaja.

“Saya sudah biasa berlari menggunakan kasut ini, apatah lagi dalam tentera dahulu hanya kasut ini dan kasut kawad sahaja digunakan.
 
Peserta maraton memulakan larian. 
“Walaupun tidak berjaya mendapat kedudukan teratas, saya bersyukur kerana dapat menamatkan larian ini sekali gus mengimbau kenangan semasa dalam perkhidmatan dahulu,” katanya ketika ditemui sewaktu program tersebut di Bangunan Serbaguna DUN Buluh Gading.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim memaklumkan, pihak penganjur menghargai penglibatan warga emas dalam program yang dianjurkan.

“Hari ini, pihak penganjur mengambil inisiatif menyampaikan anugerah khas kepada encik Mamat sebagai inspirasi bahawa usia bukan penghalang untuk menyertai aktiviti lasak seperti ini.

“Program maraton ini merupakan kali pertama kita anjurkan dan buat masa ini, satu kategori sahaja dibuka iaitu kategori 17 tahun ke atas.InsyaAllah kita akan anjurkan lagi pada masa akan datang kerana sambutannya menggalakkan,” katanya.






Tag: